Thursday, November 9, 2017

Penyusuan satu kemahiran kompleks

Berdepan dengan banyak kes membabitkan bayi meninggal akibat tersedak susu ternyata sesuatu yang sangat membimbangkan. Sama ada disiarkan di media massa atau tidak, ia bukan persoalan. Apa yang penting, hal ini perlu diingatkan kepada ibu sama ada yang sudah melahirkan cahaya mata kedua dan seterusnya atau baru saja bergelar ibu supaya sentiasa mengambil tahu, banyak membaca supaya mempunyai ilmu pengetahuan mengenainya.

Ramai beranggapan kes bayi maut akibat tersedak susu hanya berlaku kepada bayi yang minum melalui botol dan menerusi penjagaan di taska atau pengasuh saja. Tetapi sebenarnya ia turut banyak berlaku kepada bayi yang disusukan dengan susu ibu secara terus.

Situasinya begini, ibu menyusukan bayi kemudian menidurkan bayinya dengan dia turut tertidur sama. Apabila sedar satu jam kemudian, bayi sudah kebiruan dengan mulut berbuih. Apabila dibawa ke hospital, bayi sudah meninggal dunia. Ramai ibu panik dan tidak menyangka ia boleh terjadi kepada anak mereka kerana sebelum terlelap mereka sudah memastikan bayi berada dalam keadaan selamat.

Menurut Perunding Pediatrik Pusat Rawatan Islam Azzahrah Dr Md Nazim Abu, penyusuan adalah satu kemahiran bayi yang kompleks. Kemahiran ini wujud sejak lahir untuk bayi yang dilahirkan cukup bulan. Proses penyusuan membabitkan menghisap, mengumpul, mengunyah dan menelan susu manakala keadaan bayi tersedak susu berlaku apabila bayi itu tidak dapat menghisap, mengumpul, mengunyah atau menelan susu.

“Tersedak susu bermaksud susu termasuk dalam saluran pernafasan dan seterusnya ke paru-paru menyebabkan masalah pernafasan dan boleh menyebabkan bayi berhenti bernafas,” katanya.

Untuk bayi yang sihat kebiasaannya apabila menghadapi masalah pada susu yang diminum, mereka akan meluah semula. Ini bukan masalah serius kerana ia bersifat sementara dan akan pulih sendiri. Ia berlaku disebabkan organ penghadaman belum matang dan

berfungsi sepenuhnya. Hampir 50 hingga 60 peratus bayi berusia dalam lingkungan tiga bulan akan mengalami gejala ini dan akan hilang selepas bayi berusia setahun hingga dua tahun, tanpa memberikan kesan besar terhadap kesihatan bayi.

Bagi bayi yang tidak sihat pula muntah boleh disebabkan penyakit yang lebih serius sekiranya bayi didatangkan bersama gejala tambahan seperti tidak aktif, demam, menangis yang sukar ditenteramkan, kurang kencing, cirit-birit, perut kelihatan membesar, muntah berwarna hijau, coklat dan kehitaman (berdarah), muntah memancut jauh atau tidak buang air besar mungkin disebabkan oleh usus tersumbat.

Persoalannya, bagaimanakah bayi menyusu ibu boleh mengalami gejala tersedak susu? Menurut

Dr Nazim, sepatutnya pada usia satu hingga tiga bulan, bayi diawasi sepenuhnya oleh ibu atau penjaga mereka terutama selepas menyusu. Ini kerana kebanyakan kes tersedak susu berpunca daripada kecuaian dan kelalaian ibu sekiranya disusukan secara terus juga ahli keluarga dan pengasuh bagi yang meletakkan bayi di bawah jagaan orang lain.

“Oleh itu, bagi bayi yang mengalami tersedak susu dan berada dalam keadaan kebiruan sama ada sengaja atau tidak sengaja, disebabkan tiada siapa mengawasi bayi itu dalam satu hingga dua jam pertama selepas kali terakhir bayi dijaga,” katanya.

Ia juga berpunca daripada beberapa faktor seperti masalah dengan bayi, ibu, pengasuh, penjaga, botol susu dan posisi badan.

Faktor bayi

Sepatutnya ibu menilai sama ada bayi menyusu dengan baik setiap hari. Juga pastikan adakah bayi sihat seperti sediakala. Sekiranya bayi tidak sihat bagi yang bekerja, adakah wajar ibu bercuti? Cuba fikirkan apabila bayi yang tidak sihat ini meragam, adakah pengasuh mampu menjaganya?

Faktor ibu

Ada ibu mempunyai susu yang terlalu banyak. Ini menyebabkan susu mengalir laju dan bayi tidak dapat mengawal saluran ­pernafasan dan ia akan terbuka dan susu masuk ke saluran pernafasan. Ini sekali gus menyebabkan bayi terbatuk dan terus tersedak.

Secara semula jadi, ibu berkerjaya pastinya akan keletihan. Dengan kerja di pejabat dan melayan anak di rumah, tenaga mereka semakin berkurang. Sekiranya ibu tidak sihat dan perlukan rehat,

pastikan suami mengambil alih tugas menjaga bayi untuk seketika. Jangan akibat terlena untuk satu hingga dua jam menyebabkan kita kehilangan insan tersayang.

Apa yang boleh dilakukan sebelum menyusukan bayi, perah sedikit susu bagi mengelak susu keluar terlalu banyak. Bayi juga seharusnya disusukan untuk sebelah payudara saja. Jika bayi boleh menyusu 15 hingga 20 minit dan dalam kurang sejam ingin menyusu lagi, pastinya bayi anda disusukan bahagian payudara yang sama. Tinggikan kepala bayi ketika menyusu dan sendawakan bayi selepas penyusuan. Bayi pula seharusnya disusukan dalam jumlah yang kecil tetapi lebih kerap.

Faktor pengasuhdan penjaga

Kualiti penjagaan bayi akan terganggu sekiranya ada faktor yang mengganggu rutin harian. Mereka juga manusia yang kadang-kadang terpaksa bercuti, emosinya terganggu dan tidak pandai menguruskan ramai bayi sekiranya pembantu lain mengambil cuti kecemasan. Sekiranya ada seorang bayi tidak sihat, tumpuan terpaksa diberikan kepada bayi itu menyebabkan bayi lain terabai.

Sekiranya pemilik taska bertanggungjawab, mereka akan bertindak tegas dengan melarang ibu dari menghantar bayi kurang sihat demi menjaga kualiti penjagaan pekerja mereka.

Adakalanya penjaga meletakkan botol terlalu lama pada mulut bayi dan tiada pengawasan semasa penyusuan. Botol susu diselitkan dengan kain dan ditinggalkan. Apabila bayi tersedak ia menyebabkan susu akan terus mengalir dalam mulut bayi dan menyebabkan bayi tidak dapat bernafas.

Faktor botol dan posisi badan

Pilih botol dan puting yang sesuai mengikut usia bayi. Puting yang terlalu besar akan menyebabkan susu akan keluar terlalu cepat dan apabila bayi tidak dapat mengawal pernafasan dia akan terus tersedak. Oleh itu pastikan susu penuh di bahagian depan botol. Ini kerana sekiranya botol susu dipegang secara condong, bayi akan menghisap air dan udara. Keadaan ini dipanggil aerophagia dan boleh menyebabkan bayi muntah ketika tidur dan menyebabkan tersedak susu.

Elakkan mengayun-ayunkan bayi semasa penyusuan. Kepala bayi harus ditinggikan 45 darjah dan jangan sesekali tidurkan bayi secara terlentang.

Tanda bayi tersedak susu:

1. Menjadi biru

2. Tercungap-cungap

3. Pernafasan laju dan berhenti bernafas

Bagaimana mengelak bayi tersedak susu

Menurut Dr Nazim, dalam apa juga masalah sekalipun pencegahan lebih baik daripada merawat. Ini kerana sekiranya bayi tidak diberikan bantuan selepas 20 minit tersedak dan tidak boleh bernafas sendiri, ia menyebabkan kecederaan yang kekal pada organ dalaman bayi. Ibu pula seharusnya mengetahui perkembangan bayi setiap waktu. Jangan kerana bayi tidak sihat dan ibu tetap menghantar anak ke taska akan menyebabkan tumpuan pengasuh terganggu dan kemudaratan kepada bayi lain.

“Kepada pengasuh pula selalulah bertanya sama ada anda mampu menjalankan tugas pada hari ini walaupun rutin harian terganggu. Pemilik taska perlu lebih proaktif dalam menilai kemampuan serta kemahiran pengasuh mereka.

“Kepada ibu bapa, sentiasa berkomunikasi dengan pengasuh anak-anak.

Sekiranya terpaksa bercuti, ambillah cuti demi keselamatan si kecil anda.

Selalu membuat pemeriksaan atau lawatan mengejut agar ketelusan dan kualiti penjagaan anak berkekalan,” katanya.

Sumber: https://goo.gl/Zjmr3e

No comments:

Post a Comment